Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 20 april 2001

UKM menang anugerah alam sekitar

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) mengharumkan nama negara setelah dipilih memenangi Anugerah Alam Sekitar bagi Perlindungan Alam Sekitar dari Swiss Society for the Protection of the Environment (SPE) sempena Pameran Antarabangsa Teknik Baru Inovasi dan Produk Ke-29 di Geneva, Switzerland baru-baru ini.

Buat pertama kalinya Malaysia melalui UKM terpilih menerima anugerah tersebut setelah 29 tahun pameran itu diadakan bertujuan menonjolkan penyelidikan dan inovasi terbaru para saintis antarabangsa.

Anugerah berkenaan diterima melalui usaha empat pensyarah UKM yang mereka cipta sejenis alat pengeringan yang mesra alam iaitu Sistem Pengeringan Hasil Pertanian Terbantu Suria Berprestasi Tinggi.

Selain anugerah tersebut reka cipta berkenaan turut dianugerahkan pingat emas dengan ucapan tahniah daripada para juri sempena pameran itu.

Para pensyarah yang terlibat ialah Prof. Dr. Mohd Yusof Othman dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Prof. Madya Dr. Kamaruzzaman Sopian dari Fakulti Kejuruteraan (FJ), Prof. Dr. Baharuddin Yatim (FST) dan Prof. Ir. Dr. Wan Ramli Wan Daud (FJ).

Ketua kumpulan tersebut yang juga Timbalan Dekan FST, Dr. Mohd Yusof berkata, reka cipta tersebut berjaya menewaskan lebih 50 penyertaan negara asing yang dipilih untuk dipertandingkan bagi kategori alam sekitar.

Menurut beliau, sistem tersebut merupakan sejenis alat pengeringan bagi hasil pertanian seperti buah-buahan, herba, getah keping, koko dan pelepah kelapa sawit.

Keistimewaannya ialah ia mesra alam melalui penggunaan tenaga suria berbanding alat pengeringan konvensional yang menggunakan tenaga elektrik dan diesel.

``Lebih menarik, sistem tersebut telah mendapat perhatian pengunjung negara Eropah yang berpendapat ia juga boleh diaplikasikan sebagai alat pemanas di ruang kediaman,'' ujarnya.

Dr. Mohd Yusof berkata, projek penyelidikan sistem itu telah dilaksanakan sejak 1997 dengan pembiayaan geran Penumpuan Penyelidikan Dalam Bidang-bidang Keutamaan (IRPA).

Sehingga kini kumpulannya telah menghasilkan dua kaedah pengeringan melalui sistem itu iaitu Pengering Suria dengan Pengumpul Lekuk V dan Pengering Suria Dengan Pengumpul Dua Laluan Bersepadu Dengan Sistem Storan.

Beliau berkata, Timbalan Presiden SPE, Jean-Marc Cottier memberitahunya bahawa sistem tersebut sangat istimewa bagi pemuliharaan alam sekitar dan sewajarnya dihebahkan kepada semua pihak.

``Justeru beliau melalui e-mel yang dihantar kepada saya baru-baru ini telah memaklumkan bahawa artikel mengenai reka cipta berkenaan telahpun disiarkan dalam 15 buah majalah di Eropah,'' jelasnya.

Dengan kejayaan tersebut, teknologi suria dapat diperluaskan dan membantu kerajaan dalam usaha mempelbagaikan sumber tenaga untuk negara.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum