Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 21 april 2001

Bimbing anak cara betul - Hasmah

KOTA BHARU 20 April - Anak-anak sebagai pewaris generasi akan datang perlu dilatih dan dibimbing dengan cara yang betul mulai sekarang, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Beliau berkata, daya kreatif mereka juga perlu diasah dan didorong supaya mampu menjadi insan serba boleh pada masa akan datang.

Katanya, semua itu merupakan cabaran dan tanggungjawab yang mesti dipikul oleh semua pihak bagi mencapai status negara maju pada tahun 2020.

``Sehubungan dengan itu, pihak-pihak yang bertanggungjawab perlu memastikan anak-anak mendapat pendidikan sempurna,'' ujarnya .

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis PNB Endah-Bersama Anak-Anak Istimewa dan Anak-Anak Yatim, Sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2001, di Dewan Bandaran Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), di sini hari ini.

Menurut Dr. Siti Hasmah, pendidikan yang disampaikan pula tidak hanya terhad kepada pendidikan formal yang diikuti di sekolah.

``Sebaliknya pendidikan tidak formal juga penting untuk membentuk anak-anak yang lebih matang dan berketrampilan,'' ujarnya.

Katanya, begitu juga anak yang kurang bernasib baik, sewajarnya turut mendapat peluang seperti anak-anak normal.

``Golongan ini juga tidak seharusnya dihalang hak mereka untuk sama-sama menikmati manfaat dan faedah dari arus perubahan dan pemodenan negara,'' katanya.

Beliau berkata, mereka perlu mendapat pendedahan teknologi terkini kerana kemajuan yang ada dapat membantu mereka untuk hidup berdikari.

Di majlis itu, Dr. Siti Hasmah juga mengalu-alukan usaha Permodalan Nasional Berhad dalam menghulurkan sumbangan kepada enam buah rumah anak yatim di Kelantan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum