Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 22 april 2001

Didikan seks perlu dibincang - Musa


MUSA Mohamad meneliti sijil yang diterima oleh salah seorang pelajar cemerlang sambil diperhatikan Shahrizat Abd. Jalil (kanan) pada Majlis Penganugerahan Pelajar Cemerlang Bahagian Kepong di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 21 April - Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad hari ini, mempersoalkan cadangan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman yang mencadangkan pendidikan seks diberi kepada pelajar seawal usia tujuh tahun.

Beliau yang agak terkejut dengan kenyataan itu berkata, perkara tersebut perlu perbincangan mendalam kerana tidak mahu ada pihak yang salah faham mengenainya.

Menurut Musa, masyarakat juga mungkin akan merasa keliru kenapa kanak-kanak berusia tujuh tahun perlu diberi pendidikan seks.

``Perkara tersebut agak sensitif kerana melibatkan pelajar yang terlalu muda dan suasana masyarakat yang masih menganggap ia sesuatu yang peribadi.

``Kita perlukan pandangan semua pihak mengenainya sebelum kementerian bersetuju mewujudkan pendidikan sedemikian,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada Mingguan selepas Majlis Penganugerahan Pelajar-Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) UMNO bahagian Kepong di Pusat Rekreasi Kepong di sini hari ini.

Semalam, Siti Zaharah berkata, pendidikan seks perlu diberi kepada kanak-kanak seawal usia tujuh tahun hingga ke sekolah menengah bagi mencegah kes-kes penderaan seks terhadap golongan tersebut.

Katanya, pendidikan itu perlu memandangkan kes berkenaan semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Menurut Zaharah, Kementerian Pendidikan perlu bertanggungjawab dalam soal pendidikan dan pelajaran itu selain kerja sama daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Sehubungan itu Musa berkata, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Siti Zaharah bagi membincangkan perkara tersebut secara mendalam.

Mengenai peningkatan kes kebakaran yang meragut nyawa banyak pelajar beliau berkata, pendidikan mengawal kebakaran yang dijalankan oleh Jabatan Bomba di sekolah-sekolah adalah mencukupi.

``Ia sentiasa ditingkatkan untuk memastikan para pelajar sentiasa peka dengan keadaan kecemasan,'' katanya.

Namun menurut beliau, ibu bapa pelajar perlulah peka terhadap bahaya kebakaran di rumah masing-masing.

``Mereka haruslah memastikan rumah masing-masing dilengkapi dengan peralatan memadam kebakaran seperti tabung pemadam api dan pengesan asap,'' katanya.

Sementara itu pada majlis tersebut, sebanyak 21 pelajar menerima anugerah berikutan kejayaan masing-masing dalam SPM dan PMR.

Anugerah berkenaan adalah acara tahunan Pergerakan Wanita UMNO bahagian Kepong.

Pada majlis yang sama Musa turut merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita UMNO bahagian Kepong yang dipengerusikan oleh Ketua Wanita bahagian berkenaan, Datuk Shahrizat Abd. Jalil.

Oleh: MARZITA ABDULLAH

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum