Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 25 april 2001

IPTA 2001/2002 -- Permohonan meningkat 13.3 peratus

Oleh SUZITA MOHAMMED
JABATAN Pendidikan Tinggi menerima sebanyak 140,845 permohonan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi program lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf dengannya bagi sesi akademik 2001/2002.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 13.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kata Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Hassan Said dalam kenyataan akhbarnya, seramai 11,705 permohonan telah ditawarkan ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan manakala sejumlah 835 lagi ditawarkan Program Asasi Sains Universiti Malaya (UM).

``Bagi pelajar yang telah memohon dan berjaya mereka dijangka menerima tawaran selewat-lewatnya pada minggu pertama bulan Mei,'' katanya.

Beliau menambah, tarikh pendaftaran pelajar di IPTA adalah berbeza-beza.

Di UM, pendaftaran pelajar baru bermula pada 20 Mei, UM Nilam Puri (27 Mei), Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 13 Mei, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 19 sehingga 20 Mei, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 30 Mei, Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 14 hingga 16 Mei, Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUTTHO) pada 12 Mei dan Kolej Universiti Terengganu (KUT) pada 20 Mei 2001.

Pada pengambilan tersebut, UiTM akan membuat penawaran sebanyak 13,101 tempat, UTM (6,390), UIAM (3,160), UPM (820), UM (333) dan KUT (125).

Jumlah keseluruhan adalah sebanyak 25,511 tempat.

Dr. Hassan menambah, pihak kementerian berharap pemohon yang tidak berjaya supaya meneruskan pengajian mereka melalui saluran lain seperti memasuki tingkatan enam, ke Politeknik, Kolej Komuniti dan institusi latihan kemahiran yang berkaitan.

Bagi pemohon, semakan tawaran boleh dibuat mulai 24 April 2001 melalui UPU infoline iaitu 600-83-7890, Tele UPU Celcom 600-85-2200.

Pemohon juga boleh membuat semakan dengan melayari laman web http://www.jpt.uum.edu.my atau http://www.jpt.utm.my.

Selain itu BPKP juga ada menyediakan talian hotline bagi membolehkan pemohon dan ibu bapa membuat sebarang pertanyaan melalui talian 03-2545789.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum