Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 25 april 2001

`Desa Millenia' juara Anugerah Pencapaian Muda

Oleh SALINA IBRAHIM
DESA Millenia - model kompleks penempatan terancang yang dirancang oleh sekumpulan perancang muda dari Sekolah Sri Garden (SSG), Kuala Lumpur menjuarai pertandingan Anugerah Pencapaian Muda Zon Tengah.

Model kompleks berkenaan mematuhi prasyarat kejuruukuran, ekonomi pembinaan, undang-undang yang berkaitan dan teknik pembinaan.

Format pertandingan mengkehendaki pelajar membina sebuah sekolah dan blok kediaman pangsapuri dengan konsep usaha sama pemaju dan kerajaan.

Pasukan SSG, yang juga tuan rumah, menampilkan Desa Millenia, mengalahkan tiga sekolah lain.

Mereka menggondol hadiah berupa wang tunai RM2,000 dan akan mewakili zon tengah ke pertandingan peringkat kebangsaan pada 5 Jun ini.

Sekolah lain yang mengambil bahagian ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Seri Bintang Utara yang menduduki tempat kedua, SMK Convent Bukit Nanas (tempat ketiga) dan SMK Tinggi Setapak (saguhati).

Pertandingan dianjurkan Pertubuhan Juru Ukur Malaysia (ISM) dengan kerjasama Kelab Rotary Kuala Lumpur Diraja (RCKLD), baru-baru ini.

Presiden ISM, Mohamad Gading, dalam ucapannya berkata, pertandingan berkenaan bermatlamat untuk memperkenal dan menyemai minat pelajar mengenai profesion juru ukur.

``Secara umumnya, kami juga ingin memupuk minat pelajar dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Teknologi,'' katanya.

Melalui anugerah itu juga, secara tidak langsung golongan pelajar diperkenalkan kepada satu lagi prospek kerjaya dalam bidang sains pengukuran.

``Pada masa yang sama, projek berbentuk penyelidikan ini juga dapat memupuk semangat kerjasama, daya saing, kreatif dalam menangani masalah dan matlamat terbaik,'' katanya.

Anugerah ini merupakan lanjutan projek Anugerah Pencapaian Sains dan Teknologi (STAR) yang diperkenalkan oleh ISM tahun lalu.

Tahun ini pertandingan dibahagikan kepada lima zon iaitu tengah, utara, selatan, timur dan Sarawak, dengan johan setiap zon akan bertemu pada peringkat kebangsaan.

Yang menariknya dalam pertandingan ini, pelajar yang mengambil bahagian bukan pelajar aliran teknik atau vokasional.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum