Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Mingguan Malaysia 19 mac 2001

Satu aliran dibantah -- MCA, MIC dan Gerakan anggap sistem sedia ada penuhi hasrat semua kaum

PETALING JAYA 18 Mac - Tiga daripada parti komponen Barisan Nasional - MCA, MIC dan Gerakan - mempertahankan sistem persekolahan pelbagai aliran yang sedia ada kerana menganggapnya munasabah dan memenuhi hasrat pelbagai kaum.

Dalam reaksi berasingan, parti-parti tersebut memberi pelbagai hujah dengan rumusan bahawa persekolahan pelbagai aliran bukannya punca kepada kerapuhan perpaduan pelbagai kaum.

Malahan Gerakan mengingatkan Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad agar tidak terperangkap dengan cara pemikiran Menteri Kanan Singapura, Lee Kuan Yew mengenai sistem pendidikan satu aliran.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu menegaskan pihaknya menolak tanggapan bahawa sistem sekolah pelbagai aliran menjadi punca kerapuhan perpaduan di antara pelbagai kaum negara ini.

``Sekolah-sekolah ini sudah ada sejak lebih seratus tahun dahulu, sekolah Tamil sudah ada seratus tahun, sekolah Melayu juga seratus tahun dan sekolah Cina juga seratus tahun (tapi) tidak ada (perpecahan),'' katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke perkampungan setinggan di sekitar Jalan Klang Lama di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan pelbagai pihak termasuk tokoh pendidikan agar Kementerian Pendidikan mewujudkan hanya satu aliran persekolahan bagi menyediakan landasan perpaduan negara yang lebih kukuh.

Kelmarin, Musa turut mengakui sistem pendidikan di negara ini tidak berkesan dalam mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum.

Sebelum itu, Kuan Yew menyebut sistem pendidikan di Malaysia menjurus kepada perkauman sehingga sukar bagi kerajaan mengukuhkan perpaduan antara kaum.

Menurut Samy Vellu lagi, murid-murid sekolah rendah akan mempelajari bahasa dan bergaul dengan kaum lain apabila mereka menamatkan sekolah rendah dan memasuki sekolah menengah kerajaan.

Merujuk kepada peristiwa pergaduhan di Kampung Medan yang menyebabkan enam terbunuh minggu lalu, Samy Vellu berkata, punca utama kekacauan terjadi adalah akibat tindakan sesetengah pihak yang cuba menjejaskan perpaduan dengan mengambil kesempatan atas kemiskinan penduduk.

``Saya tahu apa yang berlaku di kawasan Kampung Medan ini bukan berpunca dari sekolah (pendidikan) tetapi berpunca dari kemiskinan... mereka tidak mempunyai apa-apa kemudahan awam dan pergaduhan mudah berlaku antara satu sama lain kerana rumah-rumah mereka amat dekat (rapat).

``Orang ini ada kenduri (manakala) sebelah rumah pula ada kematian jadi saya dapat tahu itulah punca masalah ini,'' katanya.

Di KUALA LUMPUR, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik berkata, sistem yang ada sekarang munasabah dan memenuhi hasrat pelbagai kaum agar bahasa ibunda digunakan di peringkat sekolah rendah sebagai bahasa pengantar.

Ini membolehkan murid pelbagai kaum memahami dengan lebih cepat dan mendalam apa yang diajar di sekolah aliran masing-masing, katanya kepada pemberita selepas menghadiri konvokesyen Universiti Sheffield Hallam hari ini.

Beliau sebaliknya meminta Kementerian Pendidikan melaksanakan semula Rancangan Integrasi Murid-Murid yang digubal 15 tahun dulu dengan tujuan menggalakkan integrasi antara pelajar daripada pelbagai aliran sekolah.

Dr. Ling yang juga Menteri Pengangkutan berkata, rancangan itu tidak sensitif seperti projek Sekolah Wawasan yang mendapat bantahan kaum Cina.

Menurut beliau, rancangan itu digubal semasa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Menteri Pelajaran.

``Masa itu perbincangan seluas-luasnya diadakan untuk melihat bagaimana melalui aliran yang ada pada ketika itu, murid-murid dari berbagai-bagai aliran masih boleh bercampur-gaul,'' katanya yang ketika itu Timbalan Menteri Pelajaran.

Melalui rancangan itu, murid, guru dan ibu bapa dari sekolah yang berbeza aliran, dapat bergaul semasa Hari Guru, Hari Ibu Bapa dan pelbagai acara lain yang dianjurkan bersama.

Dr. Ling berkata, beliau tidak tahu mengapa rancangan integrasi murid itu tidak dilaksanakan sepenuhnya sehingga sekarang walaupun ada buku panduan yang ditulis.

Beliau berharap rancangan itu dapat dilaksanakan semula dengan segera dan pada masa depan, sekolah daripada aliran berbeza dibina berdekatan bagi memastikan keberkesanan rancangan itu.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Chan Koh Youn meminta Musa supaya tidak terperangkap dengan trend pemikiran Kuan Yew yang mendakwa sistem pendidikan negara ini tidak menjurus kepada perpaduan kaum.

Ini kerana, katanya, kerajaan Singapura tidak pernah berjaya menyatukan kaum di negara itu walaupun telah mewujudkan hanya satu aliran dalam sistem pendidikannya.

Beliau yang kesal dengan kenyataan Musa menegaskan, keadaan di Singapura itu sepatutnya menjadi contoh serta bukti bahawa sistem pendidikan di negara ini berkesan untuk menangani masalah polarisasi kaum.

``Musa sepatutnya faham apa sebenar tujuan Kuan Yew mengeluarkan pendapat seumpama itu dan sebagai pakar dalam bidang pendidikan, Musa tidak sepatutnya berfikiran sempit,'' katanya.

Mengulas lanjut, Chan berkata, semua pihak patut bersedia menerima perbezaan bahasa dan budaya di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

``Keengganan menerima perbezaan itu akan menimbulkan suasana tidak tenteram antara kaum sekali gus memberi kesan negatif kepada kestabilan politik di negara ini,'' katanya.

Beliau berkata, terdapat segelintir pemimpin politik yang sengaja mengambil kesempatan memainkan isu itu menjadikan keadaan `sedikit terganggu'.

Jelas beliau, penubuhan Sekolah Wawasan menjadi contoh terbaik terhadap usaha kerajaan memupuk perpaduan tanpa mengetepikan bahasa serta budaya kaum-kaum di negara ini.

Di MUAR, Pergerakan Pemuda MCA menyatakan walaupun sistem pendidikan Malaysia mengikut aliran berbeza tetapi sukatan pelajarannya adalah sama dan identiti keMalaysiaannya tidak pernah pudar.

Ketuanya, Datuk Ong Tee Keat menegaskan kewujudan sekolah Cina, sekolah Tamil, sekolah kebangsaan adalah satu realiti yang telah diterima oleh semua pihak.

``Bagi saya penggunaan bahasa pengantar yang berbeza-beza tidak semestinya membawa pengertian bahawa kita tidak dapat memupuk perpaduan,'' katanya kepada pemberita selepas melancarkan program kursus latihan vokasional anjuran Pemuda MCA di sini.

Oleh: ASUKI ABAS, NORAINI RAZAK, dan TUKIRAN KITAM

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum