Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 20 mac 2001

Ibu bapa setuju sekolah satu aliran

PETALING JAYA 19 Mac - Kebanyakan ibu bapa bersetuju terhadap cadangan beberapa pihak supaya diwujudkan hanya satu aliran persekolahan bagi menyatu padukan rakyat negara berbilang kaum.

Mereka berpendapat walaupun sistem yang ada sekarang tidak pernah menjurus ke arah perpecahan kaum tetapi ia perlu diperbaiki bagi memastikan perpaduan kaum terpelihara.

Seorang peniaga,Zakaria Mohd Yunus, 46, berkata, dia bersetuju kerajaan mewujudkan cadangan satu aliran persekolahan disebabkan kanak-kanak akan lebih terbuka kepada kehidupan pelbagai kaum.

Menurutnya, kebanyakan ibu bapa lebih suka menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang mempunyai pelbagai kaum.

``Jika anak-anak kita bercampur pelbagai kaum sejak dari awal, mereka akan mudah bergaul pada masa hadapan,'' katanya.

Bagi A. Chandran, 30, pula sekolah satu aliran merupakan jalan terbaik untuk menyatupadukan kaum kerana dengan adanya sekolah ini, hubungan kanak-kanak pelbagai kaum akan lebih erat.

``Mereka juga boleh belajar bahasa pelbagai kaum di samping mengenali dengan lebih dekat bangsa lain,'' katanya.

Pendapat ini disokong oleh Ahmad Jadi, 42, yang menyatakan jika kanak-kanak ini sudah biasa bergaul dengan pelbagai kaum ia boleh menyedarkan mereka tentang pentingnya perpaduan yang lebih erat.

Kelmarin, tokoh pendidik, Tan Sri Ainuddin Wahid berkata, kewujudan banyak aliran persekolahan pada masa ini terbukti tidak mewujudkan suasana harmonis di antara semua kaum.

Sistem pendidikan yang pelbagai ini, katanya, mengasingkan setiap kaum sejak di zaman kanak-kanak, hingga jurang perkauman melebar dalam senyap.

Bagi Low Kim Tia, 60, dan Madam Fong, 47, mereka juga bersetuju sekolah satu aliran diwujudkan kerana ini akan menyenangkan kanak-kanak apabila dewasa untuk bergaul dan mendapatkan kerja.

Kanak-kanak tidak akan kekok dengan suasana pekerjaan walaupun terdapat pelbagai kaum, jelas mereka.

Dalam pada itu,Ismail Buyong, 47, kurang bersetuju mengenai perkara ini dan berpendapat, ia terpulang kepada ibu bapa itu sendiri untuk menentukannya.

``Sekarang ibu bapa boleh memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke mana-mana sekolah tidak kira jenis kebangsaan atau tidak.

``Walaupun perkara ini tidak membimbangkan tetapi persetujuan dan rundingan perlulah dijalankan terlebih dahulu,'' katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Sultan Alam Shah, di sini.

Seorang lagi bapa,V. Muthu, 50, berkata, untuk mewujudkan sekolah satu aliran perlu mendapat persetujuan semua pihak.

Menurutnya, ini perlu dilaksanakan dengan teliti supaya tidak ada pihak yang tersinggung kerana ia menyentuh soal kaum.

Sementara itu,Wong Ese Chong, 41, berpendapat, sekolah satu aliran buat masa sekarang mungkin tidak perlu disebabkan sistem yang sedia ada terbukti yang terbaik.

Katanya, tidak ada bukti nyata bahawa sistem sekarang menjurus terhadap perpecahan kaum.

Seorang suri rumah,S. Shanti, 38, berpendapat walaupun pada peringkat rendah, kanak-kanak mempunyai pilihan bersekolah di sekolah jenis kebangsaan tetapi apabila ke sekolah menengah, mereka akan bercampur semula dengan pelbagai kaum.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum