Click here to download freeware

PENDIDIKAN

Utusan Malaysia 06 Jun 2001

UM ambil alih bangunan JPA

KUALA LUMPUR 5 Jun - Universiti Malaya (UM) akan mengambil alih bangunan yang dikosongkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Jalan Tun Ismail di sini, bulan depan, untuk dijadikan kampus kotanya.

Pengerusi Lembaga Pengarah UM Tan Sri Basir Ismail hari ini berkata kampus kota UM itu memberi tumpuan kepada pendidikan peringkat siswazah, pendidikan berterusan, penyelidikan global dan perpaduan negara.

Bangunan JPA di kawasan seluas 6.8 hektar itu dijangka digunakan sepenuhnya sebagai kampus pada bulan Ogos, katanya pada persidangan akhbar di sini.

JPA mengosongkan bangunan itu kerana berpindah ke pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Antara lain, kampus kota akan menjadi lokasi Sekolah Siswazah Perniagaan, Institut Antarabangsa Dasar Awam dan Pengurusan, Institut Pengetua, Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya, Pusat Dialog Peradaban, Pusat Pembangunan Ekonomi dan Hubungan Etnik, Pusat Alumni UM dan Pusat Persidangan Antarabangsa.

Basir dalam pada itu menyatakan kesal kerana tidak ramai graduan UM yang mendaftar menjadi anggota alumninya.

"Kurang lima peratus daripada lebih 70,000 graduan UM yang setakat ini mendaftar menjadi anggota persatuan alumni," katanya.

Selain menyediakan pusat alumni yang baru di kampus kotanya, UM juga memperuntukkan kawasan seluas dua hektar berdekatan Jalan Damansara untuk dijadikan kawasan rekreasi bagi alumni dan pelajarnya, kata Basir.

Bagi mereka yang belum mendaftar sebagai anggota boleh berbuat demikian menerusi laman web -- www.um.edu.my. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum