Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 04 april 2001

Pengerusi Majlis Fatwa sedia bermuzakarah dengan Hadi

KUALA LUMPUR 3 April - Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim bersedia mengadakan muzakarah dengan Timbalan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang pada bila-bila masa berhubung isu Amanat Haji Hadi.

Beliau berkata, muzakarah yang disarankan oleh Abdul Hadi itu wajar disambut dengan hati terbuka dan perlu disegerakan supaya segala permasalahan berpunca daripada amanat itu sejak 20 tahun lalu dapat ditangani segera.

Beliau menegaskan bentuk muzakarah yang akan diadakan itu juga perlu menggunakan pendekatan ilmiah agar pertemuan tersebut berlangsung secara harmoni.

``Sudah sampai masanya amanat ini dibincangkan secara ilmiah agar isu-isu yang berkaitan dengan amanat ini dapat diselesaikan termasuk yang berkaitan dengan akidah dan masalah perpecahan masyarakat Islam.

``Ia perlu diadakan tanpa ada niat di sebaliknya tetapi bertujuan untuk faedah masyarakat Islam seluruhnya. Keikhlasan pihak yang terlibat dengan muzakarah ini amat diperlukan,'' katanya kepada Utusan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang sedia bermuzakarah dengan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Biro Hal Ehwal Islam UMNO mengenai Amanat Haji Hadi itu tanpa syarat.

Abdul Hadi menegaskan, terserah kepada mana-mana pihak menentukan bentuk muzakarah, sama ada ia harus dilakukan secara tertutup atau terbuka asalkan ia dapat dilangsungkan.

Sebelum ini, Biro Hal Ehwal Islam dan Pembangunan Sosial UMNO Terengganu telah menyatakan kesediaan untuk bermuzakarah dengan Abdul Hadi berhubung penyelewengan akidah dan perpecahan dalam masyarakat.

Mengulas lanjut Dr. Ismail berkata, bagaimanapun beliau tidak dapat menentukan bentuk platform yang akan digunakan bagi menjayakan muzakarah tersebut.

``Sukar untuk saya menentukan sama ada kita harus menggunakan Majlis Fatwa Kebangsaan ataupun platform IKIM untuk menjayakan muzakarah ini kerana ia melibatkan prosedur-prosedur tertentu.

``Bagi saya, apa yang penting sekarang muzakarah ini perlu direalisasikan secepat mungkin dan saya bersedia untuk menemui beliau (Abdul Hadi) pada bila-bila masa untuk membincangkan amanat ini di atas mana-mana platform,'' katanya lagi.

Sehubungan itu, Dr. Ismail berkata, mekanisme ke arah merealisasikan muzakarah itu perlu diperbincangkan secara terperinci oleh pihak-pihak yang akan terlibat.

``Sama ada ia perlu diadakan secara terbuka atau tertutup, di mana dan bila, bergantung kepada persetujuan pihak-pihak yang akan terlibat dalam muzakarah itu nanti.

``Namun begitu, saya amat mengharapkan muzakarah ini dapat diadakan secepat mungkin ,'' katanya lagi.

Oleh: SAIFULIZAM MOHAMAD

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi