KUANTAN 14 April - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik memberikan tempoh sehingga penghujung tahun ini untuk memberikan kenyataan berhubung laporan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai Presiden MCA.
Dr. Ling bagaimanapun enggan mengulas atau menafikan beliau pernah berkata akan meletakkan jawatan selepas tahun 2002 kepada Timbalan Presiden MCA, Datuk Lim Ah Lek dalam pertemuan mereka pada 15 Januari lalu.
``Saya tidak akan berkata apa-apa sehingga penghujung tahun ini. Saya tiada komen tentang dakwaan Lim bahawa saya akan berundur selepas tahun 2002,'' katanya ketika ditemui di sebuah kelab golf di sini, hari ini.
Terdahulu Dr. Ling menghadiri sesi perjumpaan dan minum petang bersama para pemimpin MCA negeri bagi membincangkan pembinaan sebuah sekolah yang menelan belanja RM2 juta.
Sebuah akhbar tempatan memetik Lim Ah Lek sebagai berkata, Dr. Ling pernah memberitahunya tentang hasrat peletakan beliau daripada jawatan nombor satu parti berkenaan, baru-baru ini.
Ditanya apakah beliau pernah menandatangani apa-apa surat sebagai hasrat meletakkan jawatan Presiden parti, Dr. Ling berkata: ``Saya takkan runding atau berbincang atas perkara ini lagi.''
Akhbar berkenaan menambah, Dr. Ling pernah memberikan tiga alasan mengapa beliau akan berundur iaitu setelah memimpin MCA melalui dua pilihan raya umum, tempohnya memegang jawatan nombor satu itu sudah mencecah 15 tahun dan kejayaan Kolej Tunku Abdul Rahman dalam pendidikan.
Sementara itu, Dr. Ling menegaskan: ``Soal (hasrat meletak jawatan) itu sudah ditutup. Tumpuan dan agenda saya berbeza. Banyak perkara perlu dibuat.''
Menjawab pertanyaan apakah beliau masih berkrisis dengan timbalan presidennya yang juga bekas Menteri Sumber Manusia itu, Dr. Ling berkata: ``Semua itu sudah menjadi sejarah.''
Mengenai dakwaan Lim bahawa Dr. Ling turut terbabit dalam satu kempen menyebarkan maklumat salah kepada ahli parti dan orang ramai, beliau berkata, ``Saya tidak pernah bercakap tentang Lim di akhbar dan saya akan terus tidak mengulas apa-apa mengenai beliau.''
muka depan |
agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi