BUTTERWORTH 15 April - Tindakan tegas kerajaan dengan menahan aktivis reformasi adalah atas desakan rakyat untuk memastikan keselamatan penduduk negara ini terjamin.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Mustapa Mohamed berkata, sejak pilihan raya umum lalu, rakyat menyedari bahawa pembangkang semakin ghairah menabur fitnah, dakyah dan pembohongan di seluruh negara.
``Sejak itu rakyat dari peringkat akar umbi, rasa tertipu dan terpedaya dengan dakyah mereka.
``Di mana-mana sahaja pemimpin kerajaan pergi termasuk di peringkat akar umbi, mereka memohon agar kerajaan bertindak tegas ke atas golongan yang menaburkan fitnah dan pembohongan itu,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan di Dewan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) Jalan Kampung Gajah, di sini.
Beliau yang juga Penasihat Ekonomi kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), mengulas penahanan tujuh aktivis reformasi yang ditahan di bawah Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Khamis lalu, selepas disyaki merancang mencetuskan demonstrasi bercorak militan.
Mereka ialah Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Mohamad Ezam Mohd. Noor, Naib Presiden Keadilan, Tian Chua, Hishamuddin Rais, Saari Sungib, N. Gobala Krishnan, Raja Petra Raja Kamarudin dan Abdul Ghani Haroon.
Menurut Mustapa, rakyat kini bersyukur atas tindakan tegas yang akhirnya diambil oleh kerajaan untuk menyelamatkan negara ini daripada kehancuran.
``Kita bersyukur dan mengucapkan syabas kepada kerajaan yang telah bertindak cepat dan berharap kerajaan tidak akan berkompromi apabila menyentuh mengenai isu-isu keselamatan.
``Sekarang ini kita selamat untuk sementara waktu, tetapi dengan harapan negara ini akan terus selamat hasil tindakan tegas pihak berkuasa,'' ujarnya.
Menurutnya, Malaysia adalah sebuah negara yang kompleks dengan pelbagai agama, kaum dan kebudayaan, bukan seperti negara-negara lain.
Tetapi tambah beliau, masih banyak yang tidak faham demokrasi dan berlagak seperti memahami demokrasi yang sesuai untuk negara ini dan mahukan rakyat mengikut jejak mereka.
Katanya, negara telah mengadakan pilihan raya dan memilih pemimpin iaitu wakil rakyat tetapi mereka (golongan yang kononnya memahami demokrasi) enggan menerima hakikat itu.
Malahan ujarnya, demokrasi di negara ini belum matang kerana masih ada anasir subversif serta ada pihak-pihak tertentu yang cuba mempergunakan dan memperkudakan pendatang seperti yang didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri di Gerik, Perak semalam.
muka depan |
agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi