Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 30 april 2001

Ketua dipilih mesti rajin ke kawasan - Abdullah


ABDULLAH Ahmad Badawi bersalaman dengan Abdul Rahman Abbas yang akan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang semasa menghadiri persidangan perwakilan UMNO bahagian Kepala Batas di Penang Golf Resort, Bertam, Pulau Pinang, semalam.

KEPALA BATAS 29 April - Semua ketua dan kepimpinan bahagian yang telah dipilih pada pemilihan bahagian mesti rajin turun ke kawasan masing-masing untuk menjayakan pelbagai aktiviti bagi menarik lebih ramai lagi rakyat menyokong UMNO.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, semua ketua bahagian dan ahli jawatan kuasa yang tinggal di luar kawasan perlu rajin balik untuk memberi khidmat kepada rakyat bagi memastikan mereka terus menyokong UMNO dan kerajaan.

Menurut Abdullah, terdapat ketua bahagian yang tinggal di Kuala Lumpur misalnya begitu rajin balik ke bahagian dan duduk lama semata-mata untuk berkempen dan mencari sokongan bagi pemilihan jawatan dalam bahagian.

``Mereka rajin benar bekerja kerana nak menang....dan bila dah menang, biarlah sama rajin turun ke bahagian untuk beri kemenangan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam `pemilihan' yang lebih besar bagi menentukan kita boleh terus pegang kerajaan.

``Jangan hanya sibuk dan beria-ria benar turun ke bahagian untuk berkempen di bahagian saja, lepas itu lupa pula pada bahagian... jangan begitu,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Kepala Batas di Penang Golf Resort, Bertam, di sini hari ini.

Menurut Abdullah lagi, `kegigihan' mereka balik ke bahagian masing-masing untuk berkempen bagi mendapatkan jawatan dalam bahagian mesti turut ditunjukkan ketika parti itu membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum.

Ini kerana ia adalah `pemilihan yang lebih besar' dan lebih bermakna daripada pemilihan di peringkat bahagian.

``Apa erti kalau ketua duduk di tempat lain dan tidak turun ke bawah untuk beri khidmat... memang betul bahagian di pimpin oleh jawatankuasa bahagian tetapi semua orang dalam jawatankuasa itu ada peranan untuk bekerja kuat.

``Biarlah semua jawatankuasa bahagian tidak kira di mana mereka tinggal atau cari rezeki, mereka mesti rajin turun ke bawah untuk pimpin bahagian,'' tegasnya lagi.

Ketua dan ahli jawatankuasa bahagian mesti memastikan kerja-kerja dan kegiatan dalam bahagian berjalan dan berkesan bagi menarik sokongan yang lebih ramai daripada rakyat khususnya orang Melayu.

Beliau menambah, semua kepimpinan perlu bekerja kuat dan bersungguh-sungguh bagi kejayaan perjuangan UMNO dan ia merupakan satu amanat yang diberikan oleh ahli-ahli di bahagian masing-masing.

Kepimpinan bahagian juga, katanya, mempunyai tugas besar kerana mereka merupakan barisan yang akan berhadapan dengan pilihan raya umum akan datang dan usaha mendapatkan sokongan daripada orang Melayu perlu menjadi perkara penting dan diutamakan.

``Kejayaan bahagian bergantung kepada kemampuan barisan baru yang diberi mandat untuk jayakan kegiatan dari semasa ke semasa. Justeru kalau ada bahagian yang berlaku pertandingan, rapatkan semula barisan dan jangan ada golongan yang kalah memencilkan diri dan tidak mahu memberi kerjasama,'' ujar beliau lagi.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum