Rare CDs=Commission

POLITIK

Utusan Malaysia 01 Mei 2001

Rahim dikejar ke IJN selepas mengadu sakit dada

KUALA LUMPUR 30 April _ Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd. Noor, 57, yang diarahkan menjalani hukuman penjara selama dua bulan mulai hari ini terpaksa dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadu sakit dada.

Menurut sumber, Abdul Rahim mengadu sakit dada ketika dalam perjalanan ke Penjara Kajang menaiki Pajero cermin gelap dengan diiringi oleh anggota-anggota polis yang menaiki dua buah Pajero lain.

``Di pertengahan jalan menghala ke Penjara Kajang, beliau tiba-tiba mengadu sakit dada kepada anggota polis yang membawanya.

``Abdul Rahim kemudiannya terpaksa dikejar ke IJN,'' jelas sumber itu lagi.

Bagaimanapun, sumber itu memberitahu Abdul Rahim dibenarkan keluar dari IJN kira-kira pukul 6.30 petang selepas diperiksa lebih dua jam.

Satu sumber penjara yang dihubungi oleh Utusan pula mengesahkan Abdul Rahim dibawa ke IJN sebelum dihantar ke Penjara Kajang pada kira-kira pukul 7.30 malam untuk menjalani hukuman.

Semasa menjalani hukuman, Abdul Rahim akan diletakkan dalam banduan `kategori pemerhatian khas'.

Sementara itu, tinjauan Utusan di IJN mengesahkan Abdul Rahim memang dihantar ke IJN untuk pemeriksaan, tetapi dibenarkan keluar selepas diperiksa.

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Abdul Rahim untuk mengetepikan hukuman penjara yang dijatuhkan terhadapnya kerana kesalahan mencederakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum