RENCANA

Utusan Malaysia 09 April 2002

Pasar raya himpit peruncit, pemborong

BERHUBUNG dengan isu keputusan Exco kerajaan negeri atau keputusan Kabinet membekukan pasar raya besar, saya merasakan keputusan itu amat bertepatan pada masa walaupun sudah terlambat. Tetapi ibarat ungkapan ``lebih baik lewat daripada tiada langsung'' jadi usaha itu sesuatu yang amat dihargai. Pendapat Ghazali Ahmad dari Gombak juga harus diberi penekanan tetapi harus diingat, mampukah golongan peruncit dan pemborong bersaing dengan gergasi besar tersebut?

Saya merupakan seorang pemborong beras sejak tahun 1993. Kerajaan banyak membantu saya dengan memberi pinjaman melalui CGC sebanyak RM100,000 dan bakinya pada hari ini ialah RM21,000 walaupun syarat-syarat yang dikenakan oleh pihak bank begitu perit juga.

Perniagaan saya pada masa itu begitu baik sekali namun apabila kerajaan mengawal harga beras, perniagaan saya agak berkurangan sedikit tetapi masih boleh bertahan. Sejak pihak Beras Nasional (Bernas) mengambil alih syarikat besar seperti Serba Wangi Sdn. Bhd. - JATI, Jasmine, Sin Hock Soon Sdn. Bhd., dan lain-lain lagi perniagaan saya menjunam 50 peratus. Ini kerana pihak Bernas sudah memonopoli peruncit. Harga yang ditawarkan serendah RM12.60 untuk 10 kg (contoh beras cap Kapal Merah keluaran Serba Wangi Sdn. Bhd., di kawasan utara) terus kepada peruncit termasuk kos penghantaran dan kredit 30 hari jika peruncit membayar tunai, maka potongan harga 1.5 peratus akan diberikan.

Kos borong beras tempatan di Kompleks Bernas adalah pada RM13.50 belum termasuk kos pembungkusan dan pengangkutan. Jadi bagaimana kami pemborong hendak bersaing mendapatkan peruncit? Bagaimana mereka dapat menawarkan harga yang begitu murah? Jawapannya anak-anak syarikat mendapat bekalan beras import melalui Bernas pada harga yang murah. Akibatnya berlakulah lambakan padi tempatan. Faktor beras seludup itu tidaklah seberapa besar.

Setelah itu saya menukar strategi mengutamakan pengguna, bermakna saya membekal terus beras kepada pengguna contohnya pengusaha restoran, kantin dan sebagainya. Malangnya kewujudan pasar raya besar pula menjadi penghalang. Mereka sanggup menjual beras pada harga yang di bawah kos. Contohnya ada yang menjual pada harga RM12.90 untuk 10 kg, sedangkan harga runcit bersih ialah RM14.50. Fenomena inilah yang menyebabkan para pengguna memilih untuk ke pasar raya.

Logiknya apakah faedahnya pasar raya ini dapat? Mereka akan mendapat faedah apabila pembeli membeli barangan lain selain beras, itu pun jika mereka berjaya memikat tetapi mereka masih mendapat sewa daripada pengeluar barangan tersebut, contohnya bayaran pameran besar-besaran yang dikenakan oleh pasar raya. Di samping itu, wang jualan tunai barangan berkenaan masih boleh digunakan untuk tujuan lain kerana tempoh kredit antara 30 hingga 90 hari.

Pendek kata golongan yang akan terjejas teruk ialah peruncit, pemborong dan jurujual syarikat yang menjual barangan itu. Akibatnya kami terpaksa gulung tikar dan baki pinjaman akan masuk pinjaman tidak berbayar (NPL) - itu kalau dilakukan dengan bank, bagaimana pula jika mereka yang meminjam daripada ceti haram?

Cuba tanya pada jurujual yang menjual barangan Nestle seperti Milo, Nescafe dan lain-lain. Pastinya jurujual yang menjaga pasar raya adalah orang Nestle sendiri tetapi kalau kedai runcit mesti diserahkan kepada ejen. Ini kerana menjaga pasar raya lebih mudah berbanding kedai runcit. Jurujual sering ditekan untuk mencapai sasaran jualan tetapi bagaimana hendak dapat sasaran kalau pasar raya menjual dengan harga lebih murah.

Memang wujud peluang pekerjaan hasil daripada tumbuhnya pasar raya besar tetapi bagaimana kesannya kepada para peniaga yang lain? Pemborong dan peruncit juga boleh mewujudkan peluang pekerjaan. Syarikat saya sendiri suatu ketika dulu mempunyai pekerja sendiri tetapi terpaksa memberhentikan mereka kerana jualan perniagaan saya jatuh mendadak hampir 75 peratus. Para pekerja saya sendiri ada yang bekerja di pasar raya dan ini berlaku akibat saingan antara saya dengan pasar raya. Jadi faktor mewujudkan peluang pekerjaan tidak timbul.

Kemudahan yang disediakan oleh pasar raya besar seperti troli, tempat letak kereta percuma dan surau hanya satu alasan. Suatu ketika dulu, para pembeli di pusat perniagaan saya hanya menyerahkan senarai barangan yang dikehendaki kepada saya dan menyatakan pukul berapa mereka akan datang semula. Selepas tepat pada masa yang dijanjikan, pembeli itu hanya perlu membuka but kereta dan saya akan memasukkan barangan yang dipesan ke dalam but dan mengutip bayaran. Bukankah ini keselesaan dan kemudahan?

Ada ketikanya barangan itu terus dihantar ke rumah pembeli. Nasib lebih buruk lagi apabila semasa mendapat gaji, pembeli membeli secara tunai di pasar raya tetapi bila pertengahan bulan, saya yang dicari untuk berhutang. Adakah ini adil?

Kerajaan sepatutnya memantau situasi ini jangan mengambil tindakan apabila harga barang melambung saja. Kalau harga barang sudah dikawal pada sesuatu tahap contoh beras dan gula, buat apa lagi hendak lawan harga hingga jual sekilo 10 sen. Harga barangan keperluan seperti bahan minuman, makanan bayi, susu, sabun juga harus ditetapkan harga standard masing-masing daripada pengeluar, pemborong, peruncit dan pengguna. Kenakan tindakan apabila harga yang dijual terlalu tinggi dan terlalu rendah.

Ingatlah golongan peruncit dan pemborong seperti kami juga mempunyai sumbangan yang besar dalam pendapatan negara dan wajar dilindungi oleh kerajaan sepertimana kerajaan melindungi pengguna. Kalau golongan seperti kami tidak dihiraukan pastinya orang luar atau mereka yang mempunyai modal yang banyak akan terus kaya-raya dan kami akan terus ketinggalan.

Jika kerajaan gagal mengawal situasi ini lebih baik harga barang ditentukan oleh pasaran terbuka seperti di pasar raya boleh mengimbangi harga semasa. Biarkan perang harga petrol dan diesel dilakukan kerana faedahnya pengguna akan dapat harga yang lebih murah. Laksanakan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dengan segera. Inikah yang dimaksudkan oleh Ghazali? Saya amat berharap kerajaan memberi perhatian sewajarnya terhadap fenomena ini. - AMIR ALI, Pulau Pinang.

Kirim pendapat anda melalui faks 03-92239854 atau pendapat@utusan.com.my

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi