KUALA LUMPUR 6 Jun - Kementerian Pertahanan hari ini menandatangani kontrak perjanjian bernilai RM102.3 juta dengan Airod Sdn. Bhd. untuk mengubah suai dua pesawat C-130 menjadi pesawat tangki.
Pengubahsuaian itu adalah sebagai memenuhi keperluan tambahan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang memerlukan dua buah lagi pesawat pengisi bahan api di udara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pada masa ini TUDM memiliki dua pesawat seumpama itu yang digunakan sejak 1997.
``Program pengubahsuaian ini akan memakan masa selama 12 bulan untuk disiapkan sebelum boleh digunakan sebagai pesawat pengisi bahan api di udara,'' katanya.
Najib berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak Program Pengubahsuaian Dua Buah Pesawat C-130 milik TUDM Kepada Pesawat Tangki di sini.
Pada majlis itu, Kementerian Pertahanan diwakili oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Hashim Meon manakala Airod Sdn. Bhd. diwakili Naib Presiden Kanannya, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman.
Najib menambah, pihak TUDM telah mengemukakan cadangan untuk pengubahsuaian dua pesawat berkenaan pada 19 April tahun lalu.
Menurutnya, program itu merupakan sebahagian daripada rancangan keseluruhan peningkatan pesawat C-130 yang juga terdiri daripada program peningkatan avionik dan pemanjangan badan pesawat.
Katanya, pada kali ini kerajaan telah memilih Airod sebagai kontraktor tunggal pengubahsuaian tersebut selepas kontrak dua pesawat terdahulu diberikan kepada Airod dan Lockheed Martin dari Amerika Syarikat.
``Ini adalah selaras dengan dasar kerajaan di dalam membantu pembangunan industri aeroangkasa dengan memberi galakan dan keutamaan kepada syarikat tempatan,'' katanya.
muka depan |
agama |
ekonomi |
fatwa |
jenayah & kemalangan |
kolumnis |
khas |
pelancongan
pendidikan |
pendatang asing |
politik |
rencana |
sains dan teknologi |
umum