RENCANA

Utusan Malaysia 21 April 2001

Suhakam hanya mencadang

Oleh: AZMAN ANUAR
DESAKAN bagi hak mengadakan perhimpunan awam secara aman dan hak asasi berpolitik telah menjadi semakin lantang bagi sebahagian besar golongan masyarakat Malaysia yang `perut kenyang sahaja sudah tidak mencukupi.' Pertambahan kesedaran berpolitik kalangan masyarakat kini sudah mula mencabar tindakan kerajaan yang dikatakan melanggari hak asasi rakyat.

Pada 19 April lalu laporan pertama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) merumuskan bahawa rekod dan amalan hak asasi manusia di negara ini yang membabitkan ekonomi, sosial dan kebudayaan adalah baik. Bagaimanapun, menurut Pengerusi Suhakam, Tan Sri Musa Hitam, masih terdapat beberapa kelemahan yang memerlukan pembaharuan, kajian dan semakan bagi memperbaikinya.

Laporan tahunan 2000 merujuk aktiviti yang dilakukannya sejak ia memulakan operasinya 24 April hingga 31 Disember tahun lalu. Perkara yang menjadi tumpuan Suhakam ialah kebebasan berhimpun, penahanan tanpa perbicaraan, kebebasan mengeluar pendapat, hak perbicaraan adil, kegagalan membatalkan empat perisytiharan darurat, undang-undang yang mendiskriminasi wanita, ratifikasi alat hak asasi manusia antarabangsa dan hak tanah adat pribumi.

Berdasarkan perkembangan iklim politik sejak dua tahun lalu, hak berhimpun secara aman menjadi isu penting dan Suhakam menerima banyak aduan daripada parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan mengenai penafian permit polis, penggunaan gas pemedih mata, belantan dan semburan air dicampur bahan kimia untuk menyuraikan perhimpunan.

Musa berkata, isu berhubung hak asasi berpolitik masih menjadi perhatian utama rakyat sepanjang tahun lalu berbanding isu lain. Perkara ini katanya mungkin disebabkan politik menjadi teras kepada kewujudan masyarakat yang membabitkan sentimen, emosi dan kesabaran.

``Tanpa gerakan emosi dan sentimen, itu bukan politik... dan tanpa politik maka masyarakat tidak akan wujud,'' kata Musa.

Secara umum tugas Suhakam ialah membuat penilaian dan cadangan yang difikirkan layak untuk kerajaan melaksanakannya. Tetapi dalam masa yang sama kerajaan juga berhak membuat penilaian atas cadangan-cadangan yang disalurkan oleh Suhakam. Ini kerana sesebuah kerajaan itu mempunyai polisi-polisi mereka yang mungkin tidak selari dengan apa yang disarankan oleh pihak tertentu.

Maksudnya sementara Suhakam memberi cadangan yang bersifat khusus, kerajaan pula perlu memikirkan hal-hal kepentingan rakyat dan negara yang lebih besar.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan tidak semestinya menerima semua pandangan yang diberikan oleh Suhakam. Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang mengulas laporan itu berkata kerajaan mempunyai pandangannya sendiri mengenai hak asasi manusia selain perlu bertanggungjawab terhadap keamanan negara ini.

Sesetengah masyarakat mungkin melihat terdapat suatu yang bertentangan. Dahulu kerajaan yang menubuhkan Suhakam tetapi apabila ada perkara yang ingin dicadangkan oleh badan itu, kerajaan nampaknya tidak mahu menerimanya. Inilah yang akan menimbulkan persoalan pada fikiran orang ramai, apakah fungsi Suhakam ditubuhkan jika cadangannya tidak mahu diterima oleh kerajaan sendiri?

Mungkin masyarakat keliru tentang isu ini, kerajaan yang menubuhkan Suhakam tetapi kerajaan sendiri tidak menerima cadangan badan bebas ini. Persoalan utama ialah soal ketulusan kerajaan yang menubuhkan Suhakam. Sebaliknya sekarang, ini menunjukkan bahawa segala tuduhan yang mengatakan Suhakam itu ditubuhkan oleh kerajaan semata-mata untuk memberi pandangan-pandangan yang menyokong dan juga memihak kepada kerajaan adalah tidak benar.

Menurut Exco Pemuda UMNO, Dr. Zambry Abd. Kadir ini dengan sendiri merujuk kejujuran kerajaan apabila menubuhkan Suhakam itu sehingga anggotanya tidak disekat untuk memberi segala bentuk pandangan, meskipun ada kalanya pandang itu bercanggah dengan pandangan kerajaan sendiri.

``Ini dengan sendirinya menolak andaian awal parti-parti pembangkang yang sebelum itu melihat penubuhan Suhakam oleh kerajaan Malaysia adalah usaha untuk menutup pelanggaran hak asasi manusia oleh kerajaan. Pada hari ini sewajarnya mereka melihat Suhakam dalam konteks yang positif,'' kata Zambry.

Cadangan daripada Suhakam bergantung kepada kerajaan untuk menilai aspek-aspek mana yang dapat diterima dan yang tidak dapat dilaksanakan. Ini mengambil kira dasar dan pegangan sesebuah kerajaan yang memerintah. Jika parti lain yang memerintah, apakah mereka akan menerima segala cadangan yang dibuat oleh Suhakam?

Dalam laporan Suhakam, dikatakan ia menerima aduan pihak awam yang mendesak supaya membenarkan perhimpunan awam yang teratur dan tersusun dan ada juga desakan untuk hak asasi berpolitik.

Proses mengadakan perhimpunan bukanlah perkara baru dalam politik Malaysia. Menjawab persoalan ini Zambry menjelaskan sejak merdeka lagi kita sudah melihat kebebasan untuk berhimpun, cuma persoalannya apakah definisi kebebasan berhimpun yang kita maksudkan? Kalau kebebasan berhimpun dimaksudkan kebebasan untuk berdemontrasi, barangkali itu perlu dibincangkan.

Dalam ceramah-ceramah umpamanya itu juga merupakan kebebasan berhimpun. Malah duduk di kedai kopi lebih lima orang itu satu kebebasan untuk berhimpun, maka soalnya sekarang apakah desakan kepada kebebasan berhimpun itu masih turut melanggari hak sesebuah kumpulan kecil untuk tidak dapat bersembang di kedai kopi dan sebagainya?

Dalam Perlembagaan Persekutuan, Bahagian 2 Perkara 10 tentang kebebasan asasi bercakap dan menubuhkan persatuan telah termaktub dalam ceraian 1(a) yang menjelaskan; tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran. Ceraian 1(b) pula menyatakan semua warganegara berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata. Ceraian 1(c) pula menyatakan semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan.

Namun demikian kita tidak boleh menafikan ada satu lagi peruntukan di dalam fasal 10 Perkara 2 menyatakan Parlimen dengan undang-undang boleh mengenakan apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya. Atau untuk mengelakkan penghinaan terhadap mahkamah, fitnah atau perbuatan mengapi-api supaya dilakukan sesuatu kesalahan.

Dalam konteks hak kebebasan untuk berpolitik yang dianggap terdapat banyak halangan dan sekatan seperti aduan kepada Suhakam, Zambry mempersoalkan apakah selama ini parti-parti politik diharamkan untuk beroperasi. Kita sedia maklum di samping segala tuduhan yang dilemparkan umpamanya di dalam ceramah-ceramah dan kaset politik, ucapan yang berapi-api yang sepatutnya tidak dilakukan namun kebebasan masih wujud. Hanya barangkali sekatan tertentu misalnya pemberian permit kerana pihak polis berhak meninjau dan melihat sejauh mana keberkesanan dan kesan sesuatu perhimpunan itu yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada keselamatan negara.

Ini dua aspek yang berlainan - satu yang menyentuh hak keselamatan dan satu lagi tentang hak awam. Inilah yang perlu diambil keputusan dengan sebaik-baiknya oleh kerajaan. Sekiranya cadangan Suhakam diterima atas nama mengikut tafsiran pihak tertentu tanpa memikirkan tentang kedudukan keselamatan negara maka sudah tentu negara kita akan terjerumus ke dalam kancah pertentangan yang berlanjutan.

Mungkin ada pihak yang menyentuh tentang hak-hak mereka untuk mengeluarkan penerbitan tetapi tidak dibenarkan, namun dalam era Internet kini, media cetak bukanlah satu-satunya alat komunikasi politik yang paling canggih. Kalau dilihat dalam konteks Pas misalnya, parti ini bukan sahaja menggunakan Harakah yang masih dibenar beroperasi tetapi dalam masa yang sama akhbar-akhbar yang sehaluan dengannya tetapi tidak mendapat permit turut dijual dan dilanggani.

Harakah on-line terus juga beroperasi setiap hari. Kaset-kaset ceramah pemimpin parti pembangkang juga bebas dijual di tempat awam. Dari segi sekatan yang diperkatakan ini ia agak terlalu subjektif nilainya untuk kita membuat satu keputusan yang tepat. Ini kerana kita mengukur sesuatu menurut kayu ukur kita sendiri tanpa memikirkan tentang kayu ukur orang lain.

Oleh itu kita harus melihat laporan Suhakam ini dalam konteks proaktif. Kerajaan tidak harus terlalu sensitif dengan beberapa saranan yang kelihatan tidak menyebelahinya manakala parti pembangkang pula tidak seharusnya terlalu ghairah dengan cadangan-cadangan Suhakam kerana mereka juga yang bertanggungjawab pada awalnya mempersoalkan tentang kejujuran Suhakam. Suhakam pula sewajarnya dilihat melaksanakan tanggungjawabnya tanpa dikongkong oleh unsur-unsur politik yang halus.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum