SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 25 April 2001

Suami isteri dapat anak lelaki menerusi prapemilihan jantina

PETALING JAYA 24 April - Harapan pasangan suami isteri, Ngo Kee Ngu, 52, dan Lee Sooi Ngiok, 50, yang mempunyai lima anak perempuan untuk mendapatkan anak lelaki akhirnya tercapai melalui kaedah prapemilihan jantina di sebuah pusat perubatan di sini.

Sebelum ini, pasangan tersebut mempunyai enam orang anak, lima daripadanya adalah perempuan serta dua cucu perempuan.

Anak sulung mereka, satu-satunya lelaki meninggal dunia tahun lepas dalam usia 27 tahun akibat nahas jalan raya.

Sejak kematian itu, Ngo mengalami masalah kesihatan yang teruk kerana tidak dapat menerima hakikat satu-satunya anak lelakinya sudah tiada.

``Kami mengambil masa seminggu sahaja sebelum membuat keputusan untuk menjalani kaedah yang disyorkan oleh doktor swasta yang mengendalikan sesi terapi suami saya,'' kata Lee yang menetap bersama-sama keluarganya di Sitiawan, Perak.

Kaedah prapemilihan jantina merupakan salah satu kaedah bantuan menerusi IVF atau percantuman/persenyawaan benih di luar rahim.

Melalui kaedah itu, sebelum sperma lelaki dimasukkan ke dalam rahim, benih perlu menjalani proses pemilihan selama tiga jam di dalam tabung uji.

Dengan cara ini, sperma jantan dan betina dapat ditentukan sebelum dimasukkan ke dalam rahim perempuan.

Bayi Lee, Ngo Leong Gui, dilahirkan secara pembedahan caesarean pada 17 Mac lalu di Pusat Pakar Damansara, di sini.

Bayi seberat 2.4 kilogram itu adalah anak ketujuh pasangan itu setelah Lee tidak mengandung kira-kira 17 tahun lalu.

``Kami sangat gembira, ini merupakan anugerah tuhan yang tidak ternilai, ibarat yang pergi sudah berganti,'' kata Lee ketika ditemui Utusan di pusat tersebut hari ini.

Walaupun mengetahui risiko mengandung berikutan faktor usia lanjut, Lee berkata keluarganya terutama suami dan doktor banyak membantu dan memberi sokongan.

``Takut juga risiko anak cacat tetapi keyakinan yang diberi cukup membuat saya semakin yakin untuk meneruskan kandungan,'' katanya yang sedikit kekok untuk menyesuaikan diri dengan situasi baru itu.

Sementara itu, Ngo yang memiliki sekolah memandu, memberitahu beliau terpaksa menjalani dua kali ujian kesuburan menerusi program `In Vitro Fertilization' (IVF) prapemilihan jantina, bermula pada Jun 2000.

``Pada November tahun lalu iaitu 16 minggu kehamilan isteri saya, kami diberitahu positif anak lelaki melalui ujian imbasan jantina,'' katanya yang membelanjakan hampir RM10,000 bagi keseluruhan rawatan termasuk berulang-alik ke ibu negara.

Sejak beroperasi pada 1994, Pusat Fertiliti Damansara berjaya mengendalikan 600 kes IVF prapemilihan jantina dengan 83 peratus mendapat anak lelaki manakala selebihnya anak perempuan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi