SAINS DAN TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 27 April 2001

Saintis harus hentikan pengklonan manusia

DUBAI 26 April - Pengklonan manusia mestilah dihentikan kerana ia adalah bertentangan dengan agama, tegas Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri memberitahu Forum Antarabangsa Amiriah, para saintis tidak boleh bertindak seperti Tuhan dengan mengklon manusia kerana mereka tidak tahu sejauh mana kesan buruknya.

Katanya, pengklonan adalah satu contoh betapa kemajuan sains dan teknologi perlu diimbangi dengan nilai moral dan agama supaya penciptaan dan penemuan tidak akan mengakibatkan lebih keburukan daripada kebaikan.

Bercakap dalam sesi soal jawab dengan lebih 400 orang peserta forum itu, Dr. Mahathir juga menegaskan bahawa umat Islam pada hari ini sepatutnya meneruskan `globalisasi Islam' yang telah diwujudkan pada zaman kegemilangan Islam dulu.

Sebenarnya, kata Perdana Menteri, umat Islam telah mempelopori konsep globalisasi yang tidak membataskan pergerakan tenaga manusia dan perniagaan antara negara pada zaman kegemilangan itu.

Bagaimanapun, jelasnya, umat Islam pada hari ini telah mengetepikan konsep itu dan menyempitkan persaudaraan ummah melalui nasionalisme keturunan dan negara.

Beliau juga menyeru umat Islam supaya mengamalkan Islam sebagai cara kehidupan dan bukannya sebagai cara berpolitik.

Secara berjenaka, Dr. Mahathir memberitahu sidang itu bahawa beliau sendiri menjadi mangsa Islam politik kerana ada kalangan di Malaysia sendiri yang menyifatkannya kafir.

Sambil disambut dengan gelak ketawa hadirin, beliau bertanya: ``Adakah tuan-tuan di sini menganggap saya seorang kafir?''

Dr. Mahathir berkata, para ulama boleh memainkan peranan bagi melaksanakan Islam sebagai cara kehidupan dengan mengiktiraf peranan golongan lain yang berbeza daripada peranan mereka.

Katanya, ulama tidak boleh bersikap dan bertindak seolah-olah mereka berhak campur tangan dalam semua bidang.

``Mereka hendaklah mengiktiraf tanggungjawab golongan profesional dan begitulah juga tanggungjawab mereka.

Masing-masing mempunyai peranan dalam menjayakan Islam sebagai cara kehidupan,'' katanya. - Utusan

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi