SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 08 Mei 2001

NEP eksport teknologi sistem air bersih

KUALA LUMPUR 7 Mei - NEP Holdings Malaysia Berhad (NEP) akan mengeksport ke 13 buah negara di rantau ini termasuk ke Jepun dan Eropah melalui teknologi Sistem Air Paling Sihat di dunia.

Naib Presiden NEP, C.S. Tee berkata, melalui teknologi `Diamond Energy Water' ini air bukan sahaja sihat untuk diminum dan digunakan tetapi ia boleh memberi tenaga yang diperlukan oleh manusia.

Katanya, antara negara yang telah dikenal pasti termasuklah Myanmar, Indonesia, Filipina, China, Hong Kong, Bangladesh, India, Dubai, Mesir,Arab Saudi, Taiwan dan beberapa negara lagi.

``Kami ingin menjadi pengeksport Sistem Air Paling Sihat di Asia Tenggara dan seluruh dunia suatu hari nanti,'' katanya kepada Utusan dalam satu pertemuan di pejabatnya di Serdang hari ini.

Sistem Air Paling Sihat atau `Diamond Energy Water' adalah rintisan cemerlang dalam bidang sains hayat di abad ke 21 ini berdasarkan teknologi penukar tenaga yang terdapat di Jepun.

Teknologi penukar tenaga ini ialah melalui penghasilan molekul-molekul air yang lebih halus supaya lebih mudah diserap badan manusia.

``Ia membantu serta menolong badan manusia menyingkirkan toksin-toksin yang tidak diperlukan dengan berkesan supaya hidup lebih sihat dan ceria,'' katanya.

C.S. Tee berkata, melalui kajian selama beberapa tahun NEP telah berjaya menghasilkan Sistem `Diamond Energy Water' melalui pemprosesan enam silinder densiti tinggi dengan tujuh sistem proses air untuk menjadikan air di tahap semula jadi yang asli.

``Apa yang menakjubkan air yang dihasilkan ini dipecahkan kepada molekul yang lebih halus sehingga ia boleh membantu mencegah beberapa penyakit kulit,'' katanya.

Beliau menerangkan, sistem yang digunakan oleh NEP ialah melalui enam penapisan iaitu pertama yang menggunakan seramik yang menapis bahan-bahan yang tidak diperlukan seperti kuman, kulat dan bakteria sehingga 99 peratus.

Ia sejajar dengan piawaian yang ditetapkan oleh Standard British dan Amerika Syarikat dan standard dunia.

Penapisan kedua ialah mengandungi blok karbon dan batu mineral yang menghapuskan molekul organik, bau yang tidak menyenangkan, warna tetapi tidak menghilangkan galian yang diperlukan oleh badan manusia.

Penapisan ketiga mengandungi activated carbon yang membuang kandungan metal yang tinggi, bahan radioaktif, kimia berbahaya dan keracunan.

Penapisan keempat ialah penggunaan penukar tenaga CE2000. Kelima _ penggunaan teknologi ID 2 penukar tenaga yang menstabilkan molekul kandungan air serta meningkatkan tenaga ke tahap yang lebih tinggi dan seterusnya penggunaan NSF karbon blok berdensiti tinggi, batu magnet semula jadi yang meningkatkan ion kalsium.

``Apa yang menarik dari air penukar tenaga ini ialah ikan-ikan yang biasanya hidup di dalam laut pun dapat hidup menggunakan air ini,'' katanya.

Ekoran dari kajian yang menyeluruh dan bersungguh mengenai penggunaan air ini membuatkan NEP Holdings memperoleh 13 piawaian mengenai kualiti air dari seluruh dunia.

C.S Tee berkata, ia juga adalah satu-satunya produk pertama di Malaysia dengan polisi liabiliti produk sebanyak RM1 juta, memenuhi keperluan Skim dan Peraturan Undang-Undang Air British, menemui keyakinan kualiti di bawah Skim Perakuan Industri Seramik dan Keyakinan Kualiti di bawah BS EN ISO 9002 dan ia adalah ahli Persatuan Air Malaysia.

Ia juga memenuhi keperluan Piawaian Kualiti FDA dan EPA di Amerika Syarikat, diuji dan terbukti oleh NSF Antarabangsa di bawah Piawaian 42 ANSI/NSF, diuji dengan perkhidmatan ujian Intertek di Hong Kong dengan pengesahan kualiti air sebagai memenuhi Piawaian Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), diuji dan terbukti oleh Malaysian Institute For Nuclear Technology Research (MINT) dengan kebolehan penanggalan bahan-bahan radio aktif sebanyak 96 peratus.

``Melalui kajian yang dijalankan apabila badan kita bebas daripada toksin, maka kehidupan kita akan lebih jauh sihat,'' katanya.

Untuk keterangan lanjut boleh menghubungi NEP Holdings Berhad di 11, Jalan SP2/7, Taman Serdang Perdana, Seksyen 2, Seri Kembangan. Telefon: 03-8948 2399.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum