SAINS & TEKNOLOGI

Utusan Malaysia 31 Mei 2001

Akta mesin cetak, penerbitan harus liputi Internet

DUA puluh tahun dahulu, kebanyakan rakyat Malaysia tidak mengenali komputer, apatah lagi Internet sedangkan kedua-duanya telah digunakan oleh perisik Amerika Syarikat ketika Perang Dunia Kedua walaupun bukan dalam bentuknya sekarang.

Hari ini, boleh dikatakan Internet telah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat negara ini terutamanya golongan muda sebagai saluran komunikasi dan mendapatkan maklumat.

Bagaimanapun ``gedung'' maklumat Internet yang tidak dikawal oleh undang-undang, kini telah disalahgunakan sehingga dijadikan alat mencetuskan perasaan benci terhadap pihak-pihak tertentu dan melaga-lagakan kaum-kaum di negara ini.

Ini menyebabkan pelbagai pihak mencadangkan supaya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang digubal bagi mengawal aktiviti serta kegiatan percetakan dan penerbitan bahan bercetak di negara ini diperluaskan bagi meliputi kawalan terhadap bahan yang dipaparkan dalam laman Internet.

Menurut Pensyarah Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Safar Hashim beberapa persoalan daripada segi perundangan perlu diambil kira sekiranya akta ini dipinda bagi meliputi Internet.

Beliau berkata kebanyakan portal Internet berpangkalan di luar negara dan negara maju serta sukar bagi kerajaan Malaysia untuk mengenakan sebarang sekatan atau undang-undang untuk mengawalnya.

``Lagipun, pada masa ini daripada segi kandungan laman Web, terdapat beberapa undang-undang sedia ada yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah fitnah dan penyebaran berita palsu,'' katanya.

Dr Safar juga berkata persoalan lain yang perlu diatasi ialah berkaitan perolehan bukti itu sendiri kerana kebanyakan berita yang disiarkan di Internet merupakan tanggapan individu tertentu.

``Kita tidak tahu siapa sebenarnya mereka dan di mana ia ditulis, jadi bagaimana kita dapat membuktikan ia adalah tulisan individu itu?,'' katanya sambil menjelaskan laman Web itu boleh berpangkalan di mana-mana negara di dunia ini.

Sementara itu, seorang pengamal media tempatan berkata kawalan terhadap Internet perlu memandangkan bahan-bahan yang disiarkan dalam Internet sejak kebelakangan ini semakin disalahgunakan sehinggakan ia menyeleweng daripada fungsi sebenarnya untuk menyalurkan maklumat yang sahih dan tulen kepada orang ramai.

``Penyebaran khabar angin atau fitnah terhadap individu, pemimpin ataupun pihak tertentu sehinggakan menyentuh sensitiviti kaum-kaum serta agama semakin berleluasa,'' katanya kepada BERNAMA tanpa mahu identitinya disiarkan.

Beliau berkata tidak lama dahulu terdapat berita yang disiarkan dalam sebuah laman Web pro-pembangkang yang mendakwa kononnya kerajaan cuba meracun Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan.

Sebuah lagi laman Web pro-pembangkang turut menyebarkan berita palsu kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad jatuh daripada kuda semasa melawat Argentina beberapa tahun lepas.

Beliau juga berkata, semasa insiden pergaduhan antara dua kumpulan penduduk di selatan Petaling Jaya awal tahun ini, sebuah laman Web yang dipercayai pro-pembangkang telah menyiarkan berita konon berlakunya pergaduhan antara dua kaum yang didalangi parti pemerintah.

``Kesemua khabar angin serta tuduhan tidak berasas dalam laman Web jelas menunjukkan satu bentuk kawalan undang-undang perlu,'' katanya tanpa menjelaskan bentuk kawalan perundangan yang perlu digunakan.

Seorang penyokong kerajaan yang dihubungi mengakui kerajaan menghadapi kesukaran dan tidak boleh mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat pada masa ini.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara ini boleh diatasi jika terdapat keperluan untuk pemilik laman Web mendedahkan identiti mereka serta bertanggungjawab terhadap kandungan yang dipaparkan dalam laman Web mereka.

``Dengan adanya keperluan itu, pemilik portal akan berhati-hati bagi mengelakkan lesen mereka ditarik balik,'' katanya yang juga tidak mahu namanya disiarkan.

Bidang kuasa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 tidak meliputi bahan yang dipaparkan di laman Web dan sesiapa boleh menulis mengenai apa sahaja yang mereka mahu tanpa sebarang sekatan atau tanggungjawab terhadap bahan yang mereka siarkan itu.

Ini berbeza dengan penerbitan bercetak seperti suratkhabar, majalah, risalah, makalah serta bahan bercetak lain, mereka yang terlibat adalah tertakluk kepada undang-undang.

Lagipun, alamat serta nama pencetak dinyatakan dalam bahan cetakan mereka selain nombor siri kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab memantau segala kandungan yang disiarkan.

Oleh itu, beliau berkata terdapat keperluan untuk mewujudkan satu bentuk kawalan terhadap pemaparan berita palsu dan tidak tepat di Internet.

``Kerajaan tidak mempunyai banyak pilihan dan salah satu pilihan yang ada adalah dengan memperluaskan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bagi meliputi penerbitan bahan dalam Internet,'' katanya.

Beliau berkata melalui pindaan terhadap akta itu, pemilik laman Web atau portal berita perlu mendapatkan lesen selain turut memaparkan nama serta alamat penerbit serta pemilik.

``Dengan cara ini, secara tidak langsung pemilik laman Web atau portal berita akan lebih bertanggungjawab terhadap bahan yang dipaparkan di laman Web mereka,'' katanya sambil menjelaskan mereka akan menentukan kesahihannya terlebih dahulu sebelum disiarkan.

Beliau berkata ini penting dalam mengawal berita yang bakal disiarkan itu daripada menyentuh sensitiviti dan perasaan kaum tertentu dalam masyarakat berbilang kaum yang terdapat di negara ini.

``Oleh itu, perluasan akta mesin cetak dan penerbitan bagi mengawal penyebaran berita palsu amatlah perlu dan bersesuai dengan keadaan pada masa ini,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum