UMUM

Utusan Malaysia 20 april 2001

Kerajaan tidak semestinya terima pandangan Suhakam

Oleh: MOHD. ASUKI ABAS
KUALA LUMPUR 19 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak semestinya menerima semua pandangan yang diberikan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Menurut Perdana Menteri, kerajaan mempunyai pandangannya sendiri mengenai hak asasi manusia di negara ini selain perlu bertanggungjawab terhadap keamanan negara.

``Itu merupakan pandangan mereka tetapi ia tidak semestinya pandangan kerajaan, kita tak terikat untuk menerima semua pandangan itu,'' katanya.

Perdana Menteri bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dan menyertai dialog Kepimpinan dan Intelektual Afrika Muda anjuran Persatuan Pelajar Afrika di Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan tahunan pertama Suhakam yang diterbitkan hari ini.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Musa Hitam menyerahkan laporan tahunan bagi tahun 2000 kepada Speaker Dewan Rakyat, Tun Mohamed Zahir Ismail di bangunan Parlimen.

Antara lain laporan Suhakam menyebut terdapat banyak undang-undang di negara ini yang menyekat atau melanggar hak asasi rakyat dan ia perlu dikaji semula dan disemak secara terperinci.

Undang-undang tersebut termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, Ordinan Darurat 1969 dan Akta Dadah Berbahaya 1985 yang antara lain membenarkan seseorang itu ditahan tanpa bicara. Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan sekali lagi, tanggungjawab menjaga keselamatan negara terletak di bahu polis bukannya Suhakam.

Oleh itu, ujar beliau, adalah lebih baik jika pandangan polisditerima oleh kerajaan.

``Tanggungjawab keselamatan Malaysia bukannya berada di tangan Suhakam tetapi pada polis kita, jadi kita kenalah dengar pandangan mereka,'' kata Dr. Mahathir.

Perdana Menteri turut diminta mengulas ucapannya pada dialog itu, bahawa Wawasan 2020 mungkin bertukar dalam masa 20 tahun lagi pada tahun 2020.

Dalam hal ini, beliau berkata, kerajaan tidak akan mengkaji semula Wawasan 2020.

"Kita mahu menjadi sebuah negara maju tetapi sebuah negara maju pada tahun 2020 yang berbeza dengan negara maju semasa kita mula lancarkan Wawasan 2020 pada 1991," katanya.

Beliau berkata, Malaysia perlu mengambil kira perubahan dalam pencapaian sesebuah negara maju.

"Ini kerana negara maju di masa depan akan bergantung kepada kemampuannya menggunakan teknologi maklumat," katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum