UMUM

Utusan Malaysia 06 Mei 2001

CUEPACS: Segera laksana bersara 60 tahun

KUALA LUMPUR 5 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap hasrat kerajaan untuk menaikkan had umur persaraan sehingga mencecah umur 60 tahun dapat dilaksanakan seberapa segera yang boleh.

Setiausaha Agungnya, Abdul Rahman Manan berkata, pelaksanaannya bagaimanapun harus dilakukan secara pilihan yang mana para pekerja diberi kebenaran untuk bersara pada umur 56 sebagaimana yang ditetapkan sebelum ini atau sehingga berumur 60 tahun.

Menurutnya, kebanyakan kakitangan awam yang berusia melebihi 55 tahun mempunyai kebolehan dan masih berupaya untuk bekerja dengan baik.

Sehubungan itu, mereka ini jelas beliau sewajarnya dibenarkan untuk terus bekerja selagi boleh memberikan sumbangan terhadap majikannya.

``Kita mengalu-alukan keputusan kerajaan ini, sekiranya pekerja tersebut masih berupaya, berkaliber dan dapat memberikan sumbangan untuk kerajaan dan negara mereka sewajarnya diberi peluang untuk berkhidmat sehingga umur 60 tahun,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri semalam bahawa kerajaan akan menaikkan had umur persaraan kakitangan awam secara beransur-ansur sehingga akhirnya mencecah 60 tahun.

Menurut Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, perkhidmatan had umur persaraan itu akan diuruskan secepat mungkin tetapi tidak akan dibuat serta-merta kerana ia melibatkan implikasi kewangan yang besar.

Mengulas lanjut, kata Abdul Rahman, CUEPACS pada asalnya meminta supaya umur persaraan dilanjutkan kepada 60 tahun tetapi setelah menimbangkan pelbagai implikasi mencadangkan supaya dilanjutkan sehingga umur 58 tahun sahaja.

Beliau berkata, walaupun kerajaan merancang melanjutkan had umur persaraan, sekiranya kakitangan awam mempunyai peluang pekerjaan yang lebih baik di luar jabatan kerajaan mereka digalakkan bersara lebih awal.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum