UMUM

Utusan Malaysia 15 Mei 2001

Bersara 56 tahun mulai Oktober

IPOH 14 Mei - Pelaksanaan had umur bersara wajib bagi kakitangan awam daripada 55 kepada 56 tahun akan bermula selewat-lewatnya 1 Oktober ini, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsuddin Osman hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sudah menyatakan persetujuan mengenai kenaikan umur bersara wajib seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Mac lalu.

Menurut beliau, kini Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hanya menunggu pindaan ke atas Akta Pencen 1980 dan pewartaan pindaan itu.

``JPA sedang membuat pindaan kepada Akta Pencen. Dari segi dasar kerajaan telah meluluskan kenaikan had umur bersara tersebut dan bila dah buat keputusan dasar, jadi banyak perkara yang perlu dibuat.

``Ini termasuk meminda akta, membentangkannya di Parlimen sebelum meluluskannya. Matlamat kita adalah melaksanakannya 1 Oktober ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua jabatan kerajaan di sini.

Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini menyatakan kerajaan akan menaikkan had umur persaraan kakitangan awam secara beransur-ansur sehingga akhirnya mencecah 60 tahun.

``Kerajaan hendak menaikkan lagi umur persaraan ini kepada 58 dan akhirnya 60 tetapi mempunyai implikasi besar. Sebab itu kerajaan tidak akan buat serta-merta tetapi insya-Allah sedikit demi sedikit kita akan tingkatkan,'' katanya.

Perdana Menteri menjelaskan, asas persetujuan kerajaan melanjutkan umur persaraan wajib kepada 56 tahun kerana syarat-syarat berkanun di bawah JJPA sebenarnya hanya menghendaki mereka berkhidmat sehingga usia genap 54 tahun dan bukannya 55 tahun.

Menurut Dr. Mahathir, memandangkan jangka hayat rakyat Malaysia kini 70 tahun bagi lelaki dan 72 tahun pula bagi wanita, jangka hayat aktif mereka tidak terhad kepada 55 tahun sebaliknya mungkin meningkat hingga 60 tahun.

Sementara itu, Samsuddin memberitahu, mutu perkhidmatan kakitangan awam akan dipertingkatkan secara berterusan dengan perhatian utama diberikan kepada aduan yang diterima daripada orang ramai.

Beliau berkata, buat masa ini JPA sedang berusaha memusatkan perhatian kepada aduan-aduan mengenai kelemahan perkhidmatan awam supaya jabatan-jabatan kerajaan boleh mengambil tindakan segera menangani aduan dan memperbaikinya.

``Tujuan kita agar aduan itu dapat dikurangkan bukan makna ada masalah besar. Cuma saya ingin fokuskan soal aduan ini sebagai perhatian utama supaya mereka mendapat maklum balas.

``Aduan adalah satu perkara yang positif. Kalau tak ada aduan, ketua jabatan tak tahu sama ada pegawai dia buat kerja atau tidak.

``Jadi bila ada aduan, ketua jabatan akan tahu ada bahagian yang perlu diperbaiki,'' jelasnya.

Menurut Samsuddin, menilai aduan merupakan salah satu jalan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan menerusi cara melihat kelemahan yang wujud dan hal ini merupakan proses yang berterusan.

Oleh: MOHD. TAUFEK RAZAK

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum